Thursday, June 1, 2023

ANALISIS WACANA BAHASA MELAYU

 

KONSEP WACANA

Perkataan wacana pada mulanya berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu disebut sebagai ‘wocono’. Perkataan bagi ‘wocono’ ini pula berasal daripada perkataan ‘woco’ yang bermaksud baca. Dalam erti kata yang lain perkataan bagi ‘woco’ ini adalah daripada bahasa Indonesia. Walaupun demikian, terdapat juga pendapat lain yang mengatakan bahawa perkataan wacana ini sebenarnya berasal daripada perkataan Inggeris, iaitu ‘discourse’ yang berasal daripada bahasa Latin, iaitu ‘discursus’ yang bermakna ‘larian ke dan lari’.

Menurut Asmah Hj Omar (1986), wacana ialah keseluruhan pelahiran bahasa oleh penutur atau penulis, iaitu pelahiran sistem bahasa dan unsur-unsur luar daripada sistem bahasa yang menyumbang kepada kemenjadian suatu pertuturan dan tulisan yang bermakna dalam komunikasi. Perkara ini disokong oleh ahli bahasa iaitu Henry Guntur Tarigan (1985) yang menyatakan wacana ialah kesatuan yang paling lengkap, tinggi dari klausa dan kalimat serta memiliki kohesi dan koheran yang baik. Beliau juga menyatakan wacana mempunyai awal dan akhir yang jelas serta berkesinambungan dan dapat disampaikan secara lisan dan bertulis. Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa wacana dilihat sebagai satu unit yang mempunyai hubung kait dengan analisis bahasa serta penggunaannya dalam bahasa.

Selain itu, wacana merupakan satuan bahasa yang tertinggi atau terbesar yang memiliki serentetan proposisi yang berkesinambungan dan memiliki kohesi dan koherensi. Menurut Eti Setiawati dan Roosi Rusmawati (2019), wacana ialah satuan bahasa lisan dan tulisan yang mempunyai perkaitan atau kesinambungan antara bahagian (kohesi), kohesi (koherensi) dan makna yang digunakan untuk berkomunikasi dalam konteks sosial. Berdasarkan pemahaman ini, keperluan pembentukan wacana ialah penggunaan bahasa boleh dalam bentuk rangkaian ayat atau rangkaian ujaran. Wacana dalam bentuk rangkaian ayat atau ujaran perlu mengambil kira prinsip tertentu iaitu prinsip keutuhan dan koherensi.

Menurut Diana Silaswati (2018), wacana boleh difahami sebagai unit dan bentuk pertuturan daripada interaksi yang berlaku sehingga menjadi sebahagian daripada tingkah laku linguistik harian. Secara ringkasnya, wacana merupakan satuan bahasa yang lengkap dan paling tinggi dalam bentuk pertuturan dan penulisan sama ada secara lisan mahupun tulisan serta unit bahasa yang melebihi batas ayat yang di dalamnya memperlihatkan hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berurutan seperti ayat, sejumlah ayat, ceraian, perenggan, bab, buku, novel dan sebagainya.



CIRI-CIRI WACANA

1. Runtutan atau koheren

Runtutan didefinisikan sebagai sebuah teks yang memiliki gabungan atau jalinan idea dan fikiran yang disusun dengan baik. Runtutan atau koheren juga merupakan perantaraan gagasan idea dalam sesebuah penceritaan untuk membentuk teks atau wacana. Koheren atau runtutan menurut Baugandre dan Dressler (1981) merujuk kepada gambaran suatu konsep dan hubungan yang menjadi dasar teks permukaan. Hasuria Che Omar dan Mashudi Hj Kadir (2007) pula dalam penulisan mereka yang berjudul “Koheren dalam Penterjemahan Audiovisual” menyatakan koheren sebagai idea atau fikiran yang dikaitkan secara logik dalam sesebuah wacana. Runtutan juga dianggap sebagai sebuah prosedur yang melibatkan perkaitan logik, susunan peristiwa, objek dan situasi serta kesinambungan cerita (Aefiqah Gitin, 2018).

Aefiqah Gitin (2018) dalam kajiannya telah meringkaskan konsep runtutan kepada suatu gagasan idea yang digunakan untuk menyampaikan idea yang mempunyai makna. Makna pula merujuk kepada penyampaian bahasa atau tanda-tanda lain untuk mewakili pengetahuan yang sebenarnya hendak ditujukan dalam wacana. Secara ringkasnya, runtutan atau koheren merujuk kepada kesinambungan idea dalam sesebuah wacana. Ainul Yaqinah (2018) dalam kajiannya menyatakan bahawa sebuah wacana yang baik perlu mempunyai keterkaitan dan keruntutan maklumat yang hendak disampaikan. Sesebuah wacana yang utuh bukan sahaja dinilai dari aspek struktur ayat sahaja, tetapi juga aspek-aspek lain termasuklah konteks ujaran kosa kata, susunan idea dan fakta (Nurmasitah Mat Hassan, 2016). Hanya teks yang mempunyai makna akan dianggap sebagai wacana. Di samping itu, terdapat tiga aspek penting yang lazimnya digunakan untuk memproses maksud yang hendak disampaikan dalam sesebuah wacana, iaitu dengan mengambil kira aspek fungsi komunikasi (cara memahami mesej), penggunaan pengetahuan sosiobudaya yang umum (fakta tentang dunia) dan penentuan kesimpulan yang akan dibuat dalam terhadap suatu komunikasi.

Frank Joseph D’Angelo mengatakan bahawa bahagian dalam wacana sama ada secara bertulis atau lisan memerlukan penyusunan yang logik dan mudah difahami oleh pembaca atau pendengar dari segi pernyataan, gagasan, fakta dan idea. telah menyenaraikan sebanyak 15 ciri runtutan dalam buku beliau yang bertajuk Proces and Thought in Composition (1980). Ciri-ciri tersebut termasuklah penambahan, rentetan, kata ganti diri, pengulangan, sinonim, keseluruhan dan bahagian, kelas dan anggota, penekanan, perbandingan, pertentangan, hasil, contoh, paralel, lokasi dan waktu (Henry Guntur Tarigan, 1995). Harimurti Kridalaksana pula membahagikan ciri runtutan kepada hubungan sebab akibat, hubungan alasan akibat, hubungan hasil, hubungan tujuan, hubungan kesimpulan, hubungan hasil dan kegagalan, hubungan syarat dan hasil, hubungan perbandingan, hubungan parafrasa, hubungan amplikatif, hubungan aditif temporal, hubungan aditif nontemporal, hubungan identifikasi, hubungan generik spesifik dan hubungan ibarat.

Berikut merupakan ciri-ciri runtutan menurut F.J D’Angelo:

(a) Penambahan atau aditif

Penambahan atau disebut juga sebagai penghubung aditif merujuk kepada proses penambahan maklumat kepada maklumat yang telah dinyatakan terdahulu. Terdapat beberapa contoh perkataan yang berfungsi sebagai penghubung aditif termasuklah tambahan pula, selain itu, dan, juga, di samping dan sebagainya. Contoh:

Ramli dan Farhan sangat digemari ramai kerana selalu membantu rakan-rakan lain dalam pelajaran. Tambahan pula, kedua-duanya sangat cemerlang dalam pencapaian akademik.

 (b) Rentetan

Rentetan pula melibatkan penggunaan penghubung yang menceritakan atau menulis sesuatu secara berurutan. Kebiasaannya, rentetan digunakan untuk menceritakan tentang sesuatu proses. Penggunaan rentetan boleh dikenal pasti melalui penggunaan perkataan pertama, kedua, selanjutnya, seterusnya, kemudian, akhirnya dan lain-lain. Contoh:

Perkara pertama yang harus anda lakukan adalah mendaftarkan diri sebagai anggota kumpulan. Kemudian, anda perlu membayar yuran keahlian dan aktif menyertai kursus-kursus yang dianjurkan oleh ahli jawatankuasa. Akhir sekali, ujian akan diberi untuk menentukan kelayakan anda menjadi ahli jawatankuasa baru.

(c) Pengulangan

Pengulangan juga disebut sebagai repetisi yang bermaksud sesuatu maklumat diulang berkali-kali sebagai penegasan. Contoh:

Kami sangat mengakui bahawa kasih sayang seorang ibu adalah tidak berbelah bahagi. Ibu mengasuh kami adik-beradik dengan sangat baik. Ibu menyayangi kami bagai menatang minyak yang penuh. Ibu mendodoikan kami. Ibu menyuapi kami. Kami tidak akan melupakan jasa ibu seumur hidup.

(d) Penekanan

Penekanan berfungsi untuk meningkatkan perkaitan atau runtutan idea dalam wacana. Penekanan boleh dilihat pada sesebuah wacana melalui penggunaan penanda-penanda seperti sesungguhnya, sungguh, memang, bahawasanya, jelaslah dan lain-lain. Contoh:

   Jelaslah bahawa peranan masyarakat merupakan antara sumbangan utama untuk mengatasi masalah pembuangan sisa pepejal yang tidak terurus.

         Farhan memang seorang yang prihatin terhadap orang-orang di sekelilingnya.

(e) Pertentangan

Pertentangan atau kontras juga digunakan untuk meningkatkan runtutan dalam teks. Pertentangan wujud untuk menunjukkan dua gagasan idea yang berbeza. Misalnya, penggunaan namun demikian, tetapi, sebaliknya dan sebagainya digunakan untuk menunjukkan dua gagasan idea yang bertentangan. Contoh:

Dia sangat meminati sukan bola sepak, tetapi dia tidak pernah mendaftar untuk menjadi ahli pasukan bola sepak di sekolah. Namun demikian, dia tidak pernah berhenti berlatih secara kendiri pada waktu lapang. Dia sering berlatih di padang berhampiran rumah bersama rakan-rakan lain.

(f) Paralel

Paralel atau kesejajaran merujuk kepada kesammaan struktur dalam pasangan atau siri kata, frasa atau klausa yang berhubungan. Ringkasnya, gaya ini berfungsi mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Contoh:

Sewaktu dia tiba di rumah, saya sedang sibuk membaca, saya sedang asyik memahami jalan cerita dalam buku tersebut. Oleh itu, saya tidak mengetahui, saya tidak mendengar dia telah duduk di tepi saya.

(g) Kata Ganti Diri

Kata ganti diri ini juga disebut sebagai pronomina yang melibatkan penghubung kata ganti seperti kata ganti diri, kata ganti petunjuk dan kata ganti nama tempat. Contoh:

Ini ialah rumah saya. Itu ialah rumah kamu. Saya dan kamu telah mendapat rumah ini sebagai harta peninggalan mendiang nenek. Kita tidak sepatutnya bersengketa kerana harta telah dibahagi sama rata.

(g) Sinonim

Sinonim atau padanan kata melibatkan dua kata atau lebih yang memiliki makna yang sama atau hampir sama dalam teks. Contoh:

Dia sangat mencintai gadis itu. Wanita itu berasal dari Sarawak. Dia ingin menjadikan perempuan itu kekasihnya. Dia percaya bahawa gadis itu akan menjadi buah hatinya sekiranya dia berusaha memikatnya.

(h) Keseluruhan Bahagian

Keseluruhan bahagian ini merujuk kepada perbincangan yang dimulai dari keseluruhan, kemudian berdalih ke bahagian-bahagian lain. Ringkasnya, keseluruhan bahagian ini melibatkan penghasilan teks yang bermula dengan bahagian lebih besar ke bahagian lebih kecil atau bahagian umum ke bahagian khusus. Contoh:

Saya telah membeli sebuah buku. Buku itu mengandungi 10 bab. Setiap bab terdiri daripada  20 hingga 30 halaman. Setiap perenggan pula mengandungi sekurang-kurangnya 5 baris ayat.

(i)  Kelas dan Anggota

Kelas dan anggota ini memiliki ciri yang hampir sama seperti keseluruhan bahagian. Walau bagaimanapun, kelas dan anggota ini fokus kepada bahagian yang lebih kecil dengan menyertakan contoh. Contoh:

Kerajaan telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan kualiti pengangkutan di negara Malaysia, tidak kira sama ada pengangkutan darat, laut atau udara. Sektor pengangkutan darat di Malaysia yang telah diperluaskan oleh kerajaan ialah kereta api, monorail dan transit aliran ringan.

(j) Perbandingan

Perbandingan turut menyumbang kepada peningkatan runtutan dalam wacana. Perbandingan wujud apabila penulis hendak membandingkan sesebuah perkara dengan perkara yang lain. Contoh:

Sama seperti Pak Cik Bakar, kita juga harus segera memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran di kampung itu. Mengapa kita tidak berbuat demikian dengan secepat mungkin?

(k) Simpulan

Simpulan atau hasil wujud untuk meningkatkan runtutan dalam wacana. Simpulan digunakan untuk menyimpulkan atau merumuskan isi yang dibincangkan. Contoh:

Kesimpulannya, masalah longgokan sampah perlu diatasi segera untuk memelihara kebersihan dan kesejahteraan hidup manusia. Oleh hal yang demikiran, masyarakat wajar mempraktikkan amalan pembuangan sampah yang terurus dan melakukan kitar semula.

(l) Contoh

Koherensi juga dapat dicipta melalui pemberian contoh yang berkait antara satu sama lain. Contoh:

Nenek menanam sayur-sayuran seperti bayam, kacang panjang, sawi dan kangkung.

(m) Lokasi dan waktu

Lokasi dan waktu juga dikategorikan sebagai ciri runtuttan. Setiap kata yang menunjukkan lokasi dan waktu juga dapat meningkatkan koherensi wacana. Contoh:

Pada mulanya, saya meletakkan kunci itu di atas meja. Kemudian, saya memindahkan kunci itu ke atas almari.

 

2. Tautan atau kohesi

Henry Guntur Tarigan (1985) pula berpendapat bahawa wacana bukan sahaja satuan bahasa yang terlengkap, tetapi juga klausa dengan koherensi dan kohesi tinggi, berkesinambungan, mempunyai awal dan akhir yang jelas. Ayat-ayat yang digunakan untuk menghasilkan sebuah wacana hendaklah disusun dengan baik untuk menunjukkan hubungan logik antara satu sama lain. Sesebuah wacana bukan sahaja perlu bersifat logik atau koherensi, tetapi juga memiliki kohesi atau tautan. Kohesi atau tautan ini penting bagi menujukkan perkaitan antara bahagian dalam wacana. Kohesi secara umunya merujuk kepada keserasian antara unsur atau bahagian dengan unsur lain dalam wacana atau juga bermaksud perpautan bentuk. Halliday dan Hasan (1976) juga menyatakan bahawa kohesi merupakan konsep wacana berasaskan semantik yang bermakna perkaitan dua atau lebih unsur dalam wacana. Secara ringkasnya, kohesi dapat memperlihatkan urutan pertuturan dalam bentuk ayat bagi menghasilkan sebuah teks yang padu dengan mengaitkan makna yang terdapat dalam unsur (Ganesan Subramonian, 2015).

Model Tautan Pindaan oleh Sanat Md. Nasir yang diadaptasi daripada Halliday dan Hasan (1976) telah mengkategorikan tautan kepada nahuan dan leksikal. Beberapa pindaan atau perubahan yang telah dilakukan termasuklah menambah aspek tautan perulangan parafrasa, paralelisme dan tautan perulangan struktur dan makna sama (Noraini Kasim, 2003). Sanat juga telah mengelompokkan kesemua jenis tautan kepada tiga tunjang utama, iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi dan tautan penghubung ayat (Rozita Mohamad Yuneh et al., 2022).

(a) Tautan perulangan

Tautan perulangan mengandungi tujuh jenis, iaitu tautan perulangan rujukan, penggantian, elipsisi, leksikal, parafrasa, paralelisme serta struktur dan makna sama.

·         Tautan perulangan rujukan

Perulangan rujukan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu rujukan kata ganti nama diri seperti -nya, mereka, ia, dia, mereka dan beliau, rujukan tunjuk seperti itu, ini, tersebut, sini, situ, begini, begitu dan demikian serta akhir sekali rujukan bandingan termasuklah seperti, lain, sama, sebagaimana dan serupa. Contoh:

Perulangan rujukan kata ganti diri

Ali, Fatimah dan Rohani sedang duduk di depan rumah Encik Ali. Mereka sedang asyik berbual.

Perulangan rujukan tunjuk

Itu rumah saya. Saya telah menetap di situ sejak kecil lagi.

Perulangan rujukan bandingan

Hotel itu tidak cantik sebagaimana yang diceritakan oleh Ahmad.

 

·         Tautan perulangan penggantian

Unsur ini melibatkan perulangan makna dan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu, penggantian namaan, karyaan dan klausaan. Contoh:

“Mengenang jasa ibu bapa merupakan tanggungjawab anak-anak.” Demikianlah antara ucapan yang disampaikan oleh beliau.

 

·         Tautan perulangan elipsis

Tautan perulangan elipsis lebih dikenali sebagai pengguguran atau penggantian kosong. Contoh:

Kamarul dan Hamid suka mendaki gunung. Oleh itu, mereka sentiasa pergi mendaki bersama-sama.

Ayat pertama merupakan hasil gabungan dua ayat, di mana ayat kedua telah mengalami pengguguran frasa dan klausa. Ayat pertama boleh dipecahkan kepada:

A 1: Kamarul suka mendaki gunung.

A 2: Hamid suka mendaki gunung.

 

·         Tautan perulangan leksikal

Tautan perulangan leksikal melibatkan pengulangan perkataan yang sama atau mempunyai kata dasar yang sama, bersinonim atau kata umum yang mempunyai maksud sama. Contoh:

Para pemuda Malaysia turut berjuang menentang penjajah dan memperjuangkan kemerdekaan di Malaysia. Mereka semua merupakan pahlawan dan pejuang yang tidak pernah mengalah.

 

·         Tautan perulangan parafrasa

Tautan perulangan parafrasa bermaksud perulangan makna yang sama. Contoh:

Kita harus memelihara rasa bersangka baik dan saling memahami antara kaum. Pemeliharaan rasa muhibah dapat mengharmonikan masyarakat.

 

·         Tautan perulangan paralelisme

Tautan perulangan paralelisme merupakan bentuk susunan yang sama antara unsur yang bertaut tetapi mempunyai makna berlainan. Contoh:

Rezeki perlu dicari. Bala mesti dihindari.

 

·         Tautan perulangan struktur dan makna sama

Tautan ini merujuk kepada unsur yang bertaut, menyatukan aspek tertentu paralelisme dan parafrasa. Contoh:

Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah hadir pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh ahli jawatankuasa yang telah menjayakan majlis ini.

 

 

(b) Tautan kolokasi

Tautan kolokasi dapat dicapai dengan mengaitkan secara semantik setiap item leksikal yang sering hadir secara serentak atau memiliki makna umum yang sama. Terdapat empat jenis tautan kolokasi iaitu, tautan kolokasi antoniman, tautan kolokasi kohiponiman, tautan kolokasi hasil dan tautan kolokasi sifat.

·         Tautan kolokasi antoniman

Tautan kolokasi antoniman bermaksud hubungan keberadaan unsur tautan yang bercirikan makna berlawanan. Tautan ini dapat dilihat daripada unsur linguistik di peringkat frasa, kata dan klausa. Contoh:

Kita perlu mengambil berat mengenai pembangunan di negara kita pada masa depan. Kita perlu mula menjalankan tanggungjawab sekarang.

 

·         Tautan kolokasi kohiponiman

Tautan jenis ini merujuk kepada keberadaan hubungan makna unsur yang bertaut di peringkat superordinat, dengan ordinatnya, atau antara hiponim atau termasuk meronimi, iaitu hubungan unsur yang sebahagian dengan unsur yang menyeluruh. Unsur-unsur linguistik didapati wujud dari peringkat terendah sehinggalah ke peringkat ayat. Contoh:

Semuanya mempengaruhi kita tapi kita tak nampak. otak masa kecil macam sponge 0 hingga 6 tahun dia punya gelombang otak dipanggil  gelombang alpha, tita,  gamma dan beta.

 

·         Tautan kolokasi hasil

Tautan ini melibatkan keberadaan hubungan makna unsur tautan yang satumenghasilkan yang lain, atau antara unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik. Contoh:

Jika kita bijak mengawal stress, maka kita akan hidup dengan lebih sihat.

 

·         Tautan kolokasi sifat

Tautan kolokasi sifat merujuk kepada keberadaan hubungan makna antara unsurtautan yang menjadi punca sifat dengan unsur sifat, atau unsur sifat daripada entiti puncasifat. Contoh:

Dia gagal peperiksaan itu kerana sering bersikap sambil lewa sepanjang minggu ulang kaji.

 

(c) Tautan penghubung ayat

Noraini Kasim (2003) mengatakan bahawa penghubung ayat berfungsi menghubungkan unit teks pada bahagian sebelumnya tau teks yang berikutnya.

 

·         Tautan penghubung ayat tambahan

Tautan ini merujuk kepada wujudnya unsur menambah dan menggunakan kata hubung seperti bahkan, di samping itu, selain itu, malahan, tambahan pula dan sebagainya. Contoh:

Pasar malam itu dikunjungi oleh ramai pengunjung. Tambahan pula, pasar malam itu menjual pelbagai jenis makanan sedap.

 

·         Tautan penghubung ayat tentangan

Tautan jenis ini pula, merujuk kepada hubungan unsur sebelum dan selepas denganmakna yang bertentangan. Contoh:

Walaupun dia tidak suka makan durian, tetapi dia tetap berani mencuba memakannya.

 

·         Tautan penghubung ayat sebab-musabab

Tautan penghubung ayat sebab-musabab, menjelaskan hubungan unsur sebelum dengan selepas dengan menerangkan alasan, akibat, tujuan, atau syarat yang ditunjukkan melalui penghubung ayat. Contoh:

Dia hendak balik rumah lebih awal kerana sambutan hari jadi ibunya akan berlangsung malam ini.

 

·         Tautan penghubung ayat waktu

Tautan penghubung ayat waktu merupakan unsur yang merangkumi ciri mengembangkan idea sebelum dan idea yang berikutnya dengan menunjukkan urutan, sertaan, kesimpulan dan lampauan. Contoh:

Kita pergi ke pasar terlebih dahulu. Kemudian, kita pergi makan di warung seberang jalan.

 

·         Tautan penghubung ayat terusan

Tautan penghubung ayat terusan mempunyai makna terusan digunakan untuk memulakan isi baharu dalam hujahan, Contoh:

Jadi, pada hari ini kita perlu menyuarakan pandangan masing-masing tentang penganjuran program tersebut.

 

3. Interteks

Mohd Rashid Idris et al. (2012) menyatakan bahawa interteks amat bergantung dengan wacana lain. Interteks merupakan pengetahuan sedia ada yang ada pada pembaca atau pendengar tentang perkara yang diperkatakan pada tahap penerimaan tinggi apabila masyarakat semakin banyak mendengar dan membaca sesuatu maklumat. Pembaca atau penerima akan lebih faham akan tujuan wacana yang hendak disampaikan melalui interteks. Pertalian harus ada antara setiap teks. Pertalian perlu ada dalam suatu perenggan, ayat sebelum atau perenggan sebelumnya yang memiliki maklumat yang perlu dinyatakan pada perenggan berikutnya. Interteks boleh diteliti pada ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan dan buku dengan buku. Contoh mudah untuk menjelaskan interteks adalah seperti berikut:

Kereta itu berwarna merah. Alvin memandu kereta itu.

Contoh di atas telah mengandungi ciri interteks. Pada ayat kedua, maklumat tentang Alvin memandu kereta berwarna kuning telah diketahui pada ayat pertama. Jelaslah bahawa pembaca atau pendengar dapat mengetahui tujuan penulisan sesuatu perkkara berdasarkan pembacaan terhadap maklumat sebelumnya.


4. Keadaan

Bagi ciri-ciri wacana bagi keadaan pula merupakan latar sewaktu atau latar situasi bahasa itu digunakan.  Ciri wacana ini biasanya membantu pembaca memahami isi kandungan kandungan yang terdapat dalam sesuatu teks. Sebagai contoh, ungkapan seperti “sila duduk” ditafsir kerana digunakan dalam situasi  latar seseorang mejemput seseorang yang lain untuk duduk. Menurut Hassan Nik Basri, latar dianggap sebagai keterangan atau gambaran suasana, atau  keadaan yang terjadinya sesuatu peristiwa dalam sesebuah teks.

Umumnya, setiap latar menghasilkan wacana tersendiri dan setiap wacana perlu dikaji antara kaitan dan kedudukan penutur dalam masyarakat secara amnya. Perkara ini akan menentukan gaya wacana samada gaya formal atau sebaliknya. Misalnya, gaya formal merujuk apabila seseorang pelajar berkomunikasi dengan gurunya atau seorang pekerja berhubung dengan majikannya dalam mensyuarat. Manakala, bagi contoh yang tidak formal pula ialah seseorang rakan yang berhubung dengan rakan karibnya di kedai kopi.

Walau bagaimanapun, setiap wacana juga mempunyai tujuan bagi membezakan sesuatu jenis ayat. Misalnya, jika tujuan penutur adalah untuk melaksanakan perbuatan, maka jenis ayat yang ditentukan ialah ayat perintah. Namun, jika tujuan penutur adalah untuk mendapatkan maklumat, maka ayat yang terbina ialah ayat tanya. Oleh itu, setiap wacana harus berdasarkan kaitan antara penutur dengan pendengar dalam bahasa lisan dan penulis dengan pembaca dalam bahasa tulisan. Setiap wacana tidak boleh dimansuhkan maklumat yang berlawanan dengan maklumat yang terdapat dalam ayat yang sebelumnya. Sebagai contoh:

“ Semalam dia bekerja sehari suntuk”

“Semalam dia bekerja sehingga jam 10.00 malam”

Di samping itu, dalam wacana juga perlu mempunyai unsur-unsur seperti sebab, akibat, waktu, dan sebagainya. Erti kata lain, setiap ayat perlulah mempunyai susunan urutan yang berkaitan. Contohnya :

“ Safawi Rashid mempamerkan aksi yang cemerlang di perlawanan akhir bola sepak penentuan piala dunia”

“ia mendapat tawaran untuk menyertai kelab bola sepak dari negara jiran”

           

 5. Struktur maklumat

Wacana juga mempunyai ciri-ciri seperti maklumat. Maklumat ini lazimnya terbahagi kepada dua jenis, iaitu maklumat lama dan maklumat baharu. Maklumat lama pula ialah maklumat yang telah dinyatakan terdahulu dengan andaian samada pembaca atau pendengar sudah mengetahuinya ataupun di sebaliknya. Manakala maklumat baharu pula merupakan maklumat langsung yang baru sahaja dinyatakan dengan andaian pembaca atau pendengar belum mengetahui maklumat atau apa yang dituturkan.

 UNIT MAKLUMAT = (MAKLUMAT LAMA) + MAKLUMAT BARU

Berdasarkan rumus di atas, maklumat lama lebih bersifat opsional iaitu maklumat tersebut akan disampaikan apabila terdapat perubahan status idea semasa dalam proses memahami. Namun begitu, maklumat lama dapat dikesan apabila penyampai berjaya mewujudkan persefahaman  penerimanya semasa mengolah ujaran melalui pengetahuan yang sedia ada dan  telah diketahui oleh kedua-dua pihak. Terdapat beberapa ciri yang menunjukkan maklumat lama, iaitu kaedah perujukan, kaedah penggantian, kaedah perulangan, kaedah perulangan sebahagian, kaedah penguguran, kaedah leksikal, dan kaedah prafrasa.

(a) Kaedah perujukan

Kaedah ini merujuk kepada perkara-perkara langsung yang dirujuk menerusi teks dan rujukan seterusnya dikenalpasti berdasarkan penggunaan kata ganti.

(b) Kaedah penggantian

Kaedah penggantian ialah sesuatu unsur yang disebut kemudian ditukarkan atau digantikan dalam bentuk baharu secara semantik ataupun nahuan.

(c) Kaedah perulangan

Kaedah perulangan membawa makna perulangan yang berlaku pada unsur-unsur dalam wacana tanpa ada sebarang perubahan.

(d)  Kaedah perulangan sebahagian

Merujuk kepada perubahan kategori yang berlaku pada rangkai kata yang mengulang

(e)  Kaedah penguguran

Penghilangan maklumat yang disampaikan oleh penulis. Kaedah ini turut dikenali sebagai kaedah elipsis atau penguguran.

(f) Kaedah leksikal

Merujuk kepada setiap ayat yang mempunyai ikatan atau pertalian yang dikorelasi secara semantik.

(g)  Kaedah prafrasa

Merujuk kepada penyampaian idea yang sama tetapi pengolahannya berbeza.

 

Walau bagaimanapun, maklumat baharu pula boleh dikenalpasti berdasarkan susunan maklumat. Menurut Sato Hirobumi, terdapat empat jenis susunan maklumat iaitu, maklumat baru tambahan, maklumat baru kontrasif, maklumat baru pemberitaan neutral, dan maklumat baru berfokus.


(a) Maklumat baru tambahan

Maklumat baru yang ditambah berdasarkan maklumat lama yang muncul di titik permulaan perbicaraan ayat.

(b) Maklumat baru kontrastif

Merujuk kepada dua atau lebih klausa yang berbeza dari segi semantik.

(c) Maklumat baru pemberitaan neutral

Susunan maklumat yang tidak mengandungi sebarang maklumat lama yang disediakan dalam pemberitaan.

(d) Maklumat baru berfokus

Susunan maklumat baru yang melibatkan fokus yang menduduki tema (judul)

 

5. Struktur tema

Berdasarkan pandangan tokoh Sanat Md. Nasir, struktur tema dianggap sebagai sesuatu yang mencirikan klausa sebagai amanat (Mohd Rashid Md. Idris, 2004:21). Klausa yang berfungsi sebagai struktur amanat terbahagi kepada dua iaitu tema dan rema. Tema merupakan kategori formal sebagai unsur pada awal klausa, iaitu titik mula klausa sebagai amanat. Manakala rema pula adalah selebihnya yang merujuk kepada bahagian yang mengembangkan klausa ataupun yang menerangkan tentang tema.

Tema

Tema biasanya berada di hadapan sebagai titik mula amanat dan perhatian atau inti dalam klausa.  Dalam pada itu, tema juga merujuk kepada kategori formal sebagai unsur pada kedudukan awal klausa. Namun, tema juga boleh terdiri daripada kata nama, kata sendi nama dan kata hubung.

Rema

Rema pula didefinisikan sebagai bahagian yang mengembangkan tema. Lazimnya, rema terletak pada bahagian belakang, iaitu selepas tema.

Contoh tema dan rema:

[Hazwin]  [pergi ke panggung wayang]

                                                    T (KN)                        R


MODEL-MODEL WACANA

Model Tautan indaan

Model tautan pindaan merupakan sebuah model yang telah mengalami pembaharuan kerana telah melalui proses susun semula dan tambah baik oleh Sanat Md. Nasir pada sekitar tahun 2002. Dalam hal ini, perkataan “pindaan” dalam model ini merujuk kepada pembaharuan yang dilakukan terhadap model Halliday dan Hassan (1976). Dalam model ini, Sanat Md. Nasir telah mengklasifikasikan tautan pindaan kepada beberapa jenis utama (Rozita Mohammad Yuneh, Rahim Aman & Shahidi, 2022), iaitu:

i)                    Tautan perulangan

ii)                  Tautan kolokasi

iii)                Tautan penghubung ayat

Tiga jenis utama tautan tersebut pula mempunyai subjenisnya masing-masing. Dalam tautan perulangan, ciri-ciri khasnya dapat dilihat daripada unsur linguistik yang berulang, unsur yang berulang atau kedua-duanya (Juliana Azrena Baharuddin, Nurul Wahidah Hamid, Maria Ishak dan Hanis Rabiatul Adawiyah Shahrim, 2016). Tautan perulangan dibahagikan kepada tujuh, iaitu:

i)                    Tautan perulangan rujukan yang merupakan unsur yang mempunyai hubungan yang dikaitkan disebabkan adanya makna sesuatu rujukan itu walaupun bentuk unsurnya tidaklah sama. Dalam tautan perulangan rujukan ini pula terbahagi kepada beberapa jenis tautan yang lebih kecil lagi, iaitu tautan keperibadian atau ganti nama diri, rujukan tunjuk dan rujukan bandingan.

ii)                  Tautan perulangan penggantian yang mempunyai ciri tatabahasa. Bagi tautan ini, konteksnya menekankan perulangan makna. Unsur bagi tautan perulangan penggantian ini, unsurnya berfungsi sebagai pancang yang digantikan serta mengandungi persamaan makna. Bagi tautan perulangan penggantian ini pula dapat dibahagikan kepada beberapa jenis tautan perulangan penggantian kecil seperti namaan, karyaan dan klausaan.

iii)                Tautan perulangan elipsis yang mempunyai persamaan dengan tautan perulangan penggantian. Hal ini dikatakan demikian kerana perulangan elipsis ini dianggap sebagai perulangan penggantian kosong. Unsur yang mengalami proses pengguguran dalam sesuatu ayat akan dapat diinterprestasikan berdasarkan unsur yang mendahuluinya.

iv)                Tautan perulangan leksikal yang didefinisikan sebagai perulangan bentuk yang sama atau melibatkan kata akar yang sama, bersinonim atau mempunyai apa sahaja kata umum yang mempunyai makna yang sama.

v)                  Tautan perulangan parafrasa yang merupakan sejenis tautan yang merujuk kepada satu makna yang sama. Tautan perulangan parafrasa ini bukan hanya bertaraf leksikal tetapi melibatkan unsur frasa sehingga kepada ayat.

vi)                Tautan perulangan paralelisme pula merupakan sejenis perulangan bentuk susunan yang sama antara unsur yang bertaut. Dalam hal ini, unsur yang bertaut tersebut tidak mempunyai makna yang sama.

vii)              Tautan perulangan  struktur dan makna yang sama merujuk kepada unsur yang bertaut antara satu dengan yang lain, menyatukan aspek tertentu paralelisme atau parafrasa. Tautan ini juga bukan hanya bertaraf leksikal namun bertaraf frasa sehingga kepada ayat yang sama.

Bagi tautan kolokasi pula mempunyai sedikit perbezaan dengan tautan perulangan. Dalam hal ini, perbezaannya dapat dilihat apabila tautan kolokasi ini tidak melibatkan sebarang linguistik berulang dari segi bentuk dan begitu pun maknanya. Tautan kolokasi ini juga memberi penekanan konteks keberadaan yang melibatkan domain makna bagi unsur linguistik dengan yang lain antara dua unit teks (Juliana Azrena Baharuddin, Nurul Wahidah Hamid, Maria Ishak dan Hanis Rabiatul Adawiyah Shahrim, 2016). Tautan kolokasi ini dapat dibahagikan kepada empat jenis, iaitu:

i)                    Tautan kolokasi antoniman yang merujuk kepada sesuatu hubungan keberadaan unsur tautan yang mempunyai ciri yang berlawanan antara satu sama yang lain seperti jantina, warna dan sebagainya. Sebagai contoh, ibu bapa dan hitam putih.

ii)                  Tautan kolokasi kohiponiman yang merujuk kepada hubungan keberadaan makna sesuatu unsur yang saling bertautan di peringkat superordinat dengan ordinatnya, termasuk hiponim atau meronimi.

iii)                Tautan kolokasi hasil yang melibatkan hubungan keberadaan makna sesuatu unsur tautan. Sebagai contoh, satu unsur menghasilkan yang satu atau antara unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik.

iv)                Tautan kolokasi sifat yang merujuk kepada keberadaan hubungan makna sesuatu unsur tautan yang menjadi punca sifat dengan unsur sifat atau unsur sifat daripada entiti punca sifat.

Tautan penghubung ayat juga menunjukkan perbezaan yang ketara dengan tautan perulangan dan tautan kolokasi kerana tautan perulangan ini berfungsi sebagai penghubung antara unsur linguistik. Contohnya, menjadi penghubung antara sesuatu unit teks sebelum dengan selepasnya (Juliana Azrena Baharuddin, Nurul Wahidah Hamid, Maria Ishak dan Hanis Rabiatul Adawiyah Shahrim, 2016). Tautan penghubung ayat ini dapat dibahagikan kepada lima, iaitu:

i)                    Tautan penghubung ayat tambahan yang merupakan tautan yang digunakan untuk menambahkan unsur sebelum dengan unsur selepas penghubung. Ciri tautan ini termasuk pisahan atau pilihan dan penegasan.

ii)                  Tautan penghubung ayat tentangan yang merupakan melibatkan pernyataan yang berlawanan antara satu dengan yang lain yang boleh dilihat melalui kata hubung kontra yang digunakan dalam sesuatu ayat.

iii)                Tautan penghubung ayat waktu yang merujuk kepada penghubung ayat yang menunjukkan urutan, sertaan dan kesimpulan bagi unsur sebelum dengan selepas.

iv)                Tautan penghubung ayat sebab musabab yang merupakan proses gabungan dua unsur yang saling berkait antara satu sama yang lain.

v)                  Tautan penghubung ayat terusan yang merupakan satu tautan penghubung yang tidak termasuk dalam jenis tautan-tautan penghubung yang lain. Hal ini dikatakan demikian kerana tautan penghubung ayat terusan ini mempunyai maksud unsur sebelum dan selepas dalam hubungan penerusan.


Model Norman Fairclough

Model Norman Fairclough mula diperkatakan pada tahun 1992, dimana dalam model tersebut ada menyebut tiga jenis dimensi utama yang boleh digunakan dalam kaedah menganalisis wacana (Zaliza Zubir dan Rohizah Halim, 2020). Sehubungan dengan itu, model Norman Fairclough ini sebenarnya lebih menekankan kewujudan amalan sosial dalam wacana. Hal ini dikatakan demikian kerana Norman Fairclough berpendapat bahawa wacana ini sebenarnya boleh ditakrifkan dalam tiga cara yang berbeza (Elya Munfarida, 2014). Pertama, wacana ditakrifkan sebagai penggunaan bahasa sebagai amalan sosial. Manakala, takrifan wacana yang kedua ialah wacana sejenis bahasa yang digunakan dalam bidang tertentu seperti wacana ilmiah dan sebagainya. Ketiga, wacana digunakan untuk menentukan cara percakapan atau komunikasi yang memberi makna kepada pengalaman dari sudur tertentu.

Dalam hal ini, Norman Fairclough juga mendefinisikan wacana sebagai amalan sosial yang penting disebabkan dua alasan. Sebab yang pertama ialah wacana membayangkan satu cara tindakan, iaitu cara manusia boleh bertindak ke atas dunia di antara satu sama lain sebagai salah satu cara representasi. Manakala kedua pula ialah wacana mempunyai pertalian dialektikal dengan struktur sosial, seumpama pertalian antara amalan sosial dengan struktur sosial, seperti mana struktur sosial yang merujuk kepada akibat bagi amalan wacana. Secara ringkasnya, teori wacana sosial berkaitan dengan cara wacana terikat dengan masyarakat sementara berfokus kepada pola interaksi antara peserta, tujuan sosial dan jenia peristiwa sosial (Mazlan, Zaitul dan Aminnudin, 2021).

Berdasarkan model Norman Fairclough (1992), beliau telah merumuskan tiga dimensi utama dalam kaedah analisis wacana kritis iaitu dimensi tekstual, amalan wacana dan amalan sosial. Secara ringkasnya, dimensi teks (struktur mikro) dianalisis melalui cara linguistik atau dengan kosa kata, semantik dan sintaksis, dimensi amalan wacana berkaitan dengan proses penghasilan dan penggunaan teks dan bagi dimensi sosial adalah berkaitan dengan konteks luaran teks (Eka Indriani, Syarial dan Muhammad Surif, 2022). Berikut merupakan penerangan yang lebih spesifik berkaitan analisis wacana tiga dimensi dalam model Fairclough:

Rajah 1: Pendekatan analisis wacana tiga dimensi Norman Fairclough


(a) Dimensi Tekstual

Menurut Umar Fauzan (2013), analisis teks (analisis atau huraian teks) ialah peringkat pertama di mana teks dialisis secara linguistik dengan melihat perbendaharaan kata, tatabahasa dan struktur ayat. Elemen yang dianalisis digunakan untuk melihat tiga perkara iaitu pengalaman, relasional dan ekspresif. Menurut Zaliza dan Rohizah (2020), Fairclough ada menyatakan bahawa analisis teks merangkumi sifat teks yang boleh dianalisis iaitu struktur teks, kohesi, nahu dan leksikal yang dimanfaatkan.

(b) Dimensi Amalan Wacana

Dimensi amalan wacana menjurus kepada interprestasi hubungan yang berkaitan dengan penghasilan dan interprestasi antara proses sesuatu wacana dan teks. Dalam fasa dimensi amalan wacana ini, terdapat empat peringkat yang dilalui untuk melakukan tafsiran iaitu melihat aspek bentuk luaran tuturan, makna yang dituturkan, koherensi dan struktur teks tersebut.

(c) Dimensi Sosial

Dalam hal ini, Noman Fairclough menjelaskan bahawa dimensi sosial adalah bertujuan untuk menerangkan mengapa masyarakat saling berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Menurut Noman Fairclough (1992), dimensi sosial merujuk kepada pekara yang dilakukan, diujarkan atau dinyatakan oleh manusia sama ada dalam orientasi ekonomi, politik, budaya dan ideologi. Fairclough (1992) juga menyatakan bahawa penggunaan bahasa dalam masyarakat adalah bentuk dimensi sosial daripada aktiviti individu. Kelompok sosial yang mengamalkan kegiatakan ekonomi atau politik.

 

Model Sato Harobumi

Rahmat Abdullah atau lebih dikenali sebagai sato hirobumi yang merupakan seorang ahli bahasa yang terkenal disebabkan oleh penglibatannya yang sangat giat dalam menganalisis bidang wacana. Sato hirobumi mendefinisikan struktur maklumat sebagai satu struktur yang berfungsi membina sesuatu unit maklumat. Sato hirobumi ini merangkumi susunan wacana melalui skop maklumat dan susunan maklumat yang baharu. Selain itu, turut melibatkan penggabungan susunan maklumat dan susunan ayat yang logik bagi membentuk sesuatu wacana yang lengkap (Nor Diyana Saupi & Mohammad Fadzeli Jaafar, 2020). Dalam hal ini, semasa sesuatu komunikasi sedang berlangsung, penyampai maklumat tidak selalu memastikan maklumat yang disampaikan merupakan maklumat lama atau maklumat yang baharu kepada penerimanya. Hal ini disebabkan sekiranya komunikasi berlangsung sambil memastikan setiap maklumat yang disampaikan adalah lama atau baharu maka proses komunikasi akan menjadi tidak berkesan.

            Oleh itu, penyampai maklumat perlu meneka dan memastikan sesuatu maklumat yang disampaikan itu sudah diketahui oleh penerima maklumat atau tidak. Hal ini menjadi sebab untuk seseorang penyampai maklumat mengetahui cara untuk mengenal pasti jenis maklumat yang disampaikan. Struktur maklumat dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

i)                    Maklumat lama (ML)

ii)                  Maklumat baharu (MB)

 

Dalam hal ini, kedua-dua jenis maklumat ini mempunyai perbezaannya yang tersendiri. Maklumat baru (MB) ini merupakan maklumat yang sedia ada dan telah disampaikan kepada penerima mesej. Bagi maklumat ini, penerima mesej akan terangsang apabila membaca atau mendengar mesej yang disampaikan kerana pernah menerima maklumat berkaitan hal tersebut sebelumnya dan maklumat tersebut telah ada dalam otak penerima. Maklumat lama ini kemudiannya dibahagikan lagi kepada tujuh kaedah, iaitu kaedah perujukan, kaedah penggantian, kaedah pengulangan, kaedah pengulangan sebahagian, kaedah penghilangan, kaedah leksikal dan kaedah parafrasa.

Manakala maklumat baharu (MB) pula merujuk kepada maklumat yang belum diketahui oleh penerima maklumat. Maklumat baharu ini dapat diketahui melalui tanda tinggi atau apabila ada penanda yang digunakan sebagai maklumat baharu. Bagi maklumat baharu ini pula dapat diklasifikasikan kepada maklumat baharu tambahan, maklumat baharu konstratif, maklumat baru pemberitaan neutral dan maklumat baharu fokus. 


RUJUKAN

Aefiqah Gitin. (2018). Analisis aspek kohesi da koheren dalam cerpen komponen sastera berdasarkan Model Fairclough (Disertasi Ijazah Sarjana Pendidikan). https://ir.upsi.edu.my/files/docs/2020/4734_4734.pdf

Ainul Yaqinah. (2018). Analisis wacana dalam latar belakang karya ilmiah kajian kohesi dan koherensi. Seminar Nasional Dies Natalis UNM ke-57, 9 Julai 2018. Diperoleh daripada http://eprints.unm.ac.id/11283/1/Ainul%20Yaqinah.%20Analisis%20Wacana.pdf

Christie Shayun Damon, Nurul Nadzirah Jasni & Norazura Yazid. (2016). Konsep wacana. Blogspot. http://analisiswacana2016.blogspot.com/2016/05/konsep-wacana.html#:~:text=Wocono%20merupakan%20perkataan%20daripada%20woco,satu%20klimaks%20seperti%20plot%20cerita

Diana Silazwati. (2019). Analisis wacana kritis dalam pengkajian wacana. Jurnal Bahasa Sastera Indonesia dan Pengajarannya, 12(1), 1-10.

Eka Indriani, Syarial Fahmi Dalimunthe & Muhammad Surif. (2022). Analisis wacana pada          roadsting Kiki Syahputri terhadap Erick Thohir menggunakan teori Norman Fairclough. Bahas, 33(2), 120-137.

Elya Munfarida. (2014). Analisis wacana kritis dalam perspektif Norman    Fairclough. Jurnal       Komunika, 8(1), 1-19.

Eti Setiawati & Roosi Rusmawati. (2019). Aplikasi wacana: Konsep, teori dan aplikasi. UB Press.

Henry Guntur Tarigan. (1995). Pengajaran wacana. Penerbit Angkasa.

Juliana Azrena Baharuddin, Nurul Wahidah Hamid, Maria Ishak dan Hanis Rabiatul Adawiyah   Shahrim. (2016). Analisis wacana. Blogspot. http://tautan-ilmuwacana-kb3.blogspot.com/p/blog-page_25.html

Mazlan Abu Bakar, Zaitul Azma Zainon Hamzah & Aminnudin Saimon. (2021). Ideologi kempimpinan dalam ucapan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak. International Young Scholars Journal of Languages, 4(2), 136-154.

Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob. (2012). Tatabahasa Wacana. Emeritus Publication

Nor Diyana Saupi & Mohammad Fadzeli Jaafar. (2020). Penanda Wacana Adapun dalam             Manuskrip Taj Al-Salatin. Jurnal Bahasa, 20(1), 1-20.

Noraini Kasim. (2003). Aspek tautan dalam dokumen lama (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan). https://www.academia.edu/6281797/ASPEK_TAUTAN_DALAM_DOKUMEN_LAMA_NORAINI_BINTI_KASIM_UNIVERSITI_PENDIDIKAN_SULTAN_IDRIS

Nur Shazana Ayuni Ahmad Jailani, Christie Shayun Damon, Nurul Nadziral Jasni & Norazura Yazid. (2016). Tautan (kohesi) dan runtutan (koheren). Blogspot. http://analisiswacana2016.blogspot.com/2016/05/tautan-kohesi-dan-runtutan-koheren.html

Nurmasitah Mat Hassan. (2016). Kohesi dalam penulisan karangan Bahasa Melayu pelajar di sebuah universiti awam (Tesis Ijazah Master Sastera). Diperoleh daripada http://psasir.upm.edu.my/id/eprint/68780/1/FBMK%202016%208%20-%20IR.pdf

Rozita Mohamad Yuneh, Rahim Aman & Shahidi, A. H. (2022). Model pengajaran unsur tautan (2009) dalam pendidikan Bahasa Melayu: Trend, elemen dan faedah. Jurnal Melayu, 21(1), 42-58. http://journalarticle.ukm.my/18925/1/55501-182590-1-SM.pdf

Rozita Mohammad Yuneh, Rahim Aman & Shahidi. (2022). Model pengajaran unsur tautan         (2009) dalam Pendidikan Bahasa Melayu: Trend, elemen dan faedah. Jurnal Melayu, 21 (1).

Syakina Salleh, Nur Shafira Sharullain, Angela Jengam & Tania Elias Idris. (2016). Ciri runtutan menurut F.J.D’Angelo. Blogspot. http://analisiswacana-kd6.blogspot.com/2016/04/ciri-runtutan-menurut-fjd-angelo.html

Syakina Salleh, Tania Elias Idris, Nur Shafira Sharullain & Angela Jengam. (2016). Analisis tautan kolokasi dalam pantun Melayu. Blogspot. http://analisiswacana-kd6.blogspot.com/2016/04/analisis-tautan-kolokasi-dalam-pantun_29.html

Umar Fauzan. (2013). Analisis wacana kritis model Fairclough. Pendidik, 5(2), 209-217.

Yusniza Yaakub, Mashetoh Abd. Mutalib & Rohizah Halim. (2021). Kata hubung sebagai peranti kohesi dalam teks ucapan Tunku  Abdul Rahman. PENDETA Journal of Malay Language, Educational and Literature, 12(1), 120-134. https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/PENDETA/article/view/4551

Zaliza Zubir & Rohizah Halim. (2020). Analisis wacana kritis: Satu pengenalan umum. Journal of Communication in Scientific Inquiry, 2(1), 57-5.

ANALISIS WACANA BAHASA MELAYU

  KONSEP WACANA Perkataan wacana pada mulanya berasal daripada kosa kata Jawa, iaitu disebut sebagai ‘wocono’. Perkataan bagi ‘wocono’ ini p...